Gua Kota Gelanggi. Terletak di Jerantut, Pahang. Ekspedisi kami melibatkan 53 peserta yang majoritinya dari Kuala Lumpur dan Selangor.
Perjalanan dimulakan secara konvoi dan susunan dibuat sebolehnya agar semua peserta berkongsi kenderaan.
Setiba di kawasan tempat letak kenderaan, semua peserta dikumpulkan bagi memulakan sesi. Setelah maklumat asas disampaikan oleh saudara Azmi Frogman, sesi senaman menyusul dan disudahi dengan bacaan doa sebelum memulakan penjelajahan.
Terdapat tujuh buah gua yang dipanggil kota iaitu Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Rehut, Kota Jin dan Kota Kepayang. Gua-gua ini dipanggil kota yang membawa maksud negeri-negeri yang berada di bawah Kota Gelanggi pada zaman dahulu.
Terdapat beberapa versi sejarah yang dapat disampaikan tentang Kota Gelanggi. Malah terdapat beberapa bukti tinggalan yang dipercayai dari zaman manusia prasejarah. Sekiranya anda bukan peminat sejarah, pemandangan didalam gua mungkin mampu terus menarik minat anda untuk meneruskan ekspedisi.
Setelah tamat penjelajahan di gua ke enam, para peserta berehat seketika dan menikmati hidangan makan tengahari. Malah wujud episod drama kejutan bagi peserta yang terpilih.
Ekspedisi ditamatkan setelah tiba di gua terakhir. Sesi fotografi beramai-ramai dibuat sebagai token bagi mengabadikan memori bersama.
Comments
Post a Comment